DISEMBER 2021

GPS Tunaikan Komitmen ‘Sarawak Diutamakan’ - Uggah


KUCHING: Kerajaan Negeri Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan menunaikan komitmen ‘Sarawak Diutamakan’ dalam usaha bersama menjaga maruah, kedudukan dan hak Sarawak sebagai wilayah yang membentuk negara Malaysia.

Sehubungan itu, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah mengajak rakyat supaya bekerjasama memain peranan dan memikul tanggungjawab membangunkan Sarawak dalam suasana yang stabil, bersatu padu dan makmur.

“Saya mengucap terima kasih atas sokongan padu yang rakyat berikan kepada Kerajaan GPS dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) baru-baru ini. Sokongan padu itu menunjukkan rakyat mahu kerajaan yang stabil dan negeri yang makmur untuk semua terutama golongan belia,” katanya dalam perutusan Hari Krismas 2021 dan Tahun Baharu 2022 di sini.

Uggah berkata, tahun 2021 menyaksikan banyak cabaran yang perlu ditempuhi tetapi Sarawak dan rakyat berjaya menempuhi cabaran itu atas kehendak Yang Maha Esa.

Beliau berharap sambutan Hari Krismas disambut dalam suasana harmoni tahun ini dapat menggubati kesukaran yang ditempohi selama ini dengan membaharui tekad membina kehidupan lebih sejahtera pada tahun hadapan.

“Kita berjaya mengharungi pandemik Covid-19 atas semangat saling membantu. Syukur… kejayaan itu atas pematuhan rakyat kepada prosedur operasi standard (SOP), kadar vaksinasi dan pemberian dos penggalak yang cemerlang.

“Kes positif Covid-19 dan kemasukan ke wad hospital kini semakin berkurangan,” tegas beliau.

Bagaimanapuun, Uggah mengingatkan rakyat supaya jangan mengambil mudah dan bersikap ‘tidak apa’ memandangkan penularan varian baharu Omicron yang sukar diramalkan.

Beliau berharap mereka yang pulang ke kampung untuk menyambut Hari Krismas bersama-sama keluarga supaya sentiasa mematuhi SOP dan sentiasa berwaspada ekoran musim tengkujuh sekarang.

“Pastikan kita menyimpan nombor perhubungan semua agensi berkaitan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kebajikan, Polis Diraja Malaysia, Pejabat Residen dan Daerah untuk memudahkan kita mendapat bantuan.

Sumber dari : Jiwa Bakti